Friday 30 December 2011

Liputan Kempen Hope2walk di Media.

Kempen Hope2walk telah mendapat tempat di beberapa media massa. Terima kasih pada Majalah Mingguan Wanita, Akhbar Sinar Harian, TV3 dan TV 9. Moga kempen ini mendapat tempat di hati ramai wakyat Malaysia jua di serata tempat. 

Terkini muncul di Mingguan Wanita keluaran 30 Dis-5 Januari. Mukasurat  132-133. Dapatkan segera.


Muncul di Akhbar Sinar harian


Muncul dalam Slot Nasi Lemak Kopi O TV9

Akhir sekali muncul di Rancangan MHI jam 7.30 pagi 22 Disember dan pada jam 8.50 pagi Annisa menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari yang sama....

Thursday 29 December 2011

"Dia dicipta Allah untuk anda berbuat pahala."

Wednesday 28 December 2011

MINI KONSERT AMAL SERIBU HARAPAN AN-NUR & ANNISA



MINI KONSERT AMAL SERIBU HARAPAN AN-NUR & ANNISA

Anjuran :~ SENI SURI JAWI, HOPE 2 WALK & RUKUN TETANGGA APARTMENT HARMONI.

Program Mini Konsert Amal Seribu Harapan ini akan dijayakan oleh dua buah band muzik tetap, JAWI BAND dan SEVENWORD, serta melibatkan beberapa penggiat kesenian tanahair. Dan ini adalah program pertama yang dirancangkan SENI SURI JAWI secara bergerak, diikuti beberapa siri mini konsert yang lainnya selepas itu, untuk mengumpul dana perubatan adik AN-NUR & ANNISA. Pada program yang pertama ini, kami akan menjayakan sebuah Mini Konsert Seribu Harapan AN-NUR & ANNISA :

Performer :~

1- BAND JAWI
2- SEVENWORDS
3- ROCKTONE
4- PYAN HABIB
5- PELANGI CHENTA
6- FASYALI FADZLY
7- HAN ZALINI
8- ALFUMISM
9- NIK JIDAN
10- DOLLAH GAMBUS N DA GANG

Bertempat :~ Hadapan Dewan Orang Ramai Apartment Harmoni,
Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Tarikh :~ 31 Disember 2011 (malam tahun baru)

Masa :~ 9.00 malam - 12.00 malam

Program ini juga adalah bertujuan untuk mengajak masyarakat agar lebih prihatin dan menderma ke arah menjayakan tabung harapan AN-NUR & ANNISA, serta dapat berusaha bersama HOPE 2 WALK dalam menjalankan usaha murni dalam membantu anak-anak kurang upaya. Dan SENI SURI JAWI telah merancang program bergerak seperti ini melalui wadah kesenian agar dapat sama-sama membantu dalam merealisasikan harapan AN-NUR & ANNISA ini. Kepada sesiapa yang ingin atau mempunyai ruang untuk kami mengadakan MINI KONSERT HARAPAN AN-NUR & ANNISA ini ditempatnya, boleh menghubungi pihak SENI SURI JAWI di :

019-358 2390 (Amerul)
atau emailkan ke:~ senisurijawi@gmail.com

Teruskan menyumbang kawan-kawan...



Alhamdulillah, maklumat terkini sumbangan yang diterima sehingga hari ini 29-12-11 ialah : RM 75,018.65. Pemergian Arwah Annisa menyentuh hati ramai di kalangan kita. Sumbangan melonjak.


Tatapi semula catatan Babah Annisa dan An-Nur....


"Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana mencapai sasaran kutipan masih jauh. Dia padamkan lilinnya untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi-mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti."


Teruskan menyumbang kawan-kawan...

Tunjukkan kasih sayang dan hulurkan bantuan....

Satu lagi usaha mereka yang prihatin di luar sana.

Sama-sama berikan sokongan. Terima Kasih pada anda semua yang budiman.

Tuesday 27 December 2011

Almarhumah Adik Annisa Affandy, Al Fatihah .... Hope 2 Walk

ANNISA ‘PERGI’ SEBELUM SEMPAT KE HOSPITAL ERKANG


ANNISA ‘PERGI’ SEBELUM SEMPAT KE HOSPITAL ERKANG
(dikeluarkan pada media pada 22hb Disember 2011)

Setelah hampir sebulan, kempen ‘Hope2Walk’ iaitu Tabung Harapan Annisa dan Annur dilancarkan bagi mengumpul dana RM500,000 untuk membawa sepasang cahaya mata aktivis gerakan massa dan kartunis, Ronasina (Mohd Affandi Ramli), hari ini salah seorang anak istimewa yang mengalami kecacatan Cerebral Palsy (Brain Injury / Lumpuh Otak) adik Annisa menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat mendapat rawatan pemulihan awal di Hospital Erkang, Beijing, China.

Adik Annisa, 10 tahun dan adik Annur, 8 tahun dijangka diterbangkan ke hospital pakar di China untuk mengikuti program pemulihan fisioterapi dan latihan intensif selama 18 bulan sebelum menyambung rawatan pemulihan dan persekolah khas di Neuro Developmental Treatment Charity (BIRD), United Kingdom. Jenazah telah disembahyangkan di Masjid Jamek Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas waktu zohor.

Perjuangan adik Annisa dan adik Annur mendapat sokongan meluas di laman sosial termasuk facebook, twitter dan blog. Media massa dan elektronik turut memberikan liputan khas dengan kemunculan pasangan istimewa ini di rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 pada sebalah pagi tadi dan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada jumaat lalu. Duta ‘Hope2Walk’, pemain bola sepak kebangsaan yang juga Kapten Pelita Jaya, Indonesia, Safee Sali akan pulang ke Kuala Lumpur dari Jakarta esok (23 Disember 2011) bagi menziarahi pusara adik Annisa. 
  
Bagi memastikan adik Annur dapat menyambung perjuangannya dan kakaknya Annisa untuk dapat bergerak seperti kanak-kanak normal yang lain setelah terlantar sejak lahir bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik, pasukan sukarelawan ‘Hope2Walk’ yang dianggotai oleh ibubapa pesakit Cerebral Palsy, aktivis masyarakat, karyawan, budayawan, sasterawan dan ahli media merayu sumbangan segera untuk mencukupkan dana yang hanya terkumpul sebanyak RM35,000 setakat hari ini supaya rawatan adik Annur dapat disegerakan selewat-lewatnya bulan Januari 2012. Pihak yang berminat untuk menyumbang boleh mengubungi sukarelawan Nashita Md Noor di talian 013 209 6373.

Monday 26 December 2011

Annisa 8 Februari 2001- 22 Disember 2011

Pejuang itu lahir tanggal 6.30 petang di HUKM. Keluar melalui pembedahan adalah satu perjuangan. Dia membesar dalam keadaan kecederaan otak sehingga perkembangannya terlewat. 


Bulan demi bulan apabila sering diserang Broncol Pneumonia, dia bertarung. Tercungap-cungap melawan dan selalunya dia menang. 


Dia memang pejuang. Pernah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu minum, doktor memasang tiub melalui hidung ke perut untuk memudahkan dia minum tanpa melalui mulut. Kedegilan kami untuk tidak mengikut saranan itu lalu mencabutnya dan kekuatan semangat perjuangan dia, akhirnya dia mampu makan dan minum tanpa bantuan tiub.

Dia turun ke jalan bersama adiknya untuk 'menyuarakan' haknya. Ramai menumpang semangatnya. Ke hulu ke hilir dia perjuangkan haknya. Dia tidak mengaku berjuang untuk orang lain. Disembur, ditembak, dia tenang. Dia tetap jua begitu walau ada suara-suara perkecil dan bibir mencebik.

Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.

Dia pulang menyatu dengan seribu rahsia. Ramai yang hadir di majlis kepulangannya. Ada tali terputus tiba-tiba bertaut kembali. Terlalu ramai yang hadir sehingga ada yang tidak dikenali. Aku sendiri tak pasti jika aku kembali nanti, adakah beritaku disiarkan di kaca tv. Tapi begitulah dia.

Dia memang pejuang.
Sehari selepas kepulangannya kami ke makamnya, dan terlihat ada bunga ditaburkan oleh seseorang yang tidak kami kenali. Bau semerbak wangi. Malam kepulangannya, rumah kami berbau kasturi- Apa lagi?

Sebab itu sejak saat dia kembali, 4 hari sebelum aku menyambut hari kelahiranku yang ke 38-aku menatap wajahnya, memandi, mengurus sehingga melihat dia ke liang lahad - sempadan kasih antara kami terkubur di situ- hingga saat menulis ini- belum setitis pun air mata aku gugur untuk pejuang ini.

Oh Annisa!

Perginya seorang pejuang: Annisa 22hb Februari 2011


Annisa Bt Mohd Affandi. Lahir pada 8hb Februari 2001.

Pada tarikh 22hb Disember sekitar jam 8.45, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berita yang sungguh mengejutkan semua, apatahlagi sekitar jam 7.30 pagi ayah, ibu serta rakan-rakan seperjuangan sama-sama menanti di hadapan TV menonton slot MHI di TV3. Krew MHI telah datang ke rumah keluarga Annisa dan An-nur untuk rakaman rutin kehidupan mereka berdua untuk dipaparkan kepada umum dalam usaha kempen hope2walk.

Belum sempat impian hope2walk dilaksanakan, Annisa telah pergi dahulu menemui Yang Maha Pencipta yang lebih mengasihinya.

Tim Hope2walk bersama seluruh rakyat Malaysia yang prihatin akan meneruskan usaha ini untuk adik An-nur.

Tuesday 13 December 2011

SAFEE SALI DUTA PROJEK KEMPEN HOPE 2 WALK



                                                       Safee Sali
                      Kapten Pelita Jaya FC dan Pasukan Kebangsaan Msia.

Alhamdulillah,

Dengan rasa bersyukur dan bangganya kami di HOPE 2 WALK ingin memaklumkan jaguh bolasepak negara Safee Sali telah bersetuju untuk menjadi Duta Projek Kempen Hope 2 Walk. Sebagai ahli sukan yang mengamalkan hidup sihat dan aktif kami rasakan Safee Sali adalah orang yang sangat sesuai dan tepat menjadi duta kempen ini. Semoga ramai lagi ahli sukan dan selebriti yang akan mencontohi Safee Sali menyertai dan melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebegini. Berikut adalah kata-kata khas dari Safee Sali untuk anda di luar sana :-
Saya menyeru teman-teman semua, bantulah Annisa dan An-Nur untuk mereka merasai betapa indahnya dunia kanak-kanak  dan terus jalani kehidupan seperti anak-anak  yg lain. Mereka anak kita dan mereka perlukan bantuan kita kerana hidup ini untuk semua manusia termasuk Annisa dan An-Nur. Sebagai ahli sukan professional dan juga seorang bapa kepada dua orang anak gadis, saya rasa tersentuh dengan keadaan dua beradik ini dan amat berharap mereka dapat lalui zaman kanak-kanak mereka seperti anak-anak saya dan anak-anak yang lain di seluruh dunia. Kita bersykur dgn keadaan kita tetapi jangan lupa membantu mereka yg memerlukan. Hanya Tuhan yang akan membalas jasa kalian dan semoga anak-anak ini terus sihat dan sejahtera. Amin. Safee Sali, Kapten Pelita Jaya FC dan Pasukan Kebangsaan Msia.